• Putrajaya, Malaysia
  • October 8, 2024

Pernah tak kalian berasa letih lesu tanpa sebab atau tak tahu punca sebenar? Rasa penat atau letih yang melampau ni bukan sahaja berlaku pada orang yang badan dia bersaiz agak besar, tapi yang kecil molek pun boleh rasa letih. Memang lemau lah badan orang kata bila dia dah datang melanda.

 

cara atasi keletihan

 

Keletihan ni sebenarnya banyak puncanya. Kadang-kadang memang kita sedia maklum, tapi ada sebahagian daripadanya, memang kita tak sangka pun itulah punca keletihan kita.

 

Sindrom Tidur Apnea & Keletihan Pada Waktu Siang

Apnea merupakan sejenis gangguan tidur yang boleh menyebabkan seseorang tu berhenti bernafas dalam masa 10 saat dan ke atas. Apabila keadaan apnea ini terjadi, tidur seseorang tu akan terganggu kerana badan manusia akan tersedar dari lena secara semulajdi, dan keadaan ini akan memberi kesan terhadap kualiti tidur mereka.

Gejala apnea ini juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain seperti serangan jantung, malah boleh menyebabkan berlakunya kegagalan fungsi organ berkenaan, strok dan juga keletihan yang melampau pada waktu siang hari.

Bagi isu apnea ni, lebih ramai golongan yang overweight atau yang mempunyai berat badan yang berlebihan mengalami masalah ini berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal. Ini kerana berat dan lemak yang bertambah di bahagian torso (bahagian badan kecuali kaki, tangan dan kepala) dan leher boleh menganggu fungsi pernafasan manusia. Oleh kerana sering terjaga sewaktu tidur akibat apnea, badan akan menjadi mudah letih lesu pada waktu siang hari.

Ekoran kerana terlampau letih dan lesu, maka idea bersenam dan pemilihan makanan seimbang serta berkhasiat bagi mengurangkan berat badan dilihat dan dianggap sebagai kurang menarik dan bukanlah menjadi satu pilihan yang utama. Sedangkan kaedah ini sebenarnya mampu mengurangkan masalah apnea.

 

Penafasan Tersekat Akibat Berat Badan Berlebihan Mengundang Kepenatan

Golongan yang obese atau mempunyai berat badan yang berlebihan mempunyai risiko yang lebih tinggi menyebabkan pergerakan diafragma (otot yang membantu sistem pernafasan) tersekat yang akan mengakibatkan kesukaran untuk bernafas.

 

cara atasi keletihan

 

Keadaaan ini akan menyebabkan tisu, otot dan otak mereka kekurangan oksigen, seterusnya menyebabkan mereka berasa letih, penat dan tidak bermaya sepanjang hari.

 

Kehidupan Yang Tidak Aktif Sebabkan Letih Lesu

Orang yang malas bergerak aktif selalunya dikaitkan dengan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Ini kerana, bagi golongan yang obese, pergerakan seharian dilihat sebagai suatu aktiviti fizikal yang sangat menyusahkan. Sedangkan kehidupan harian kita melibatkan banyak pergerakan.

 

cara atasi keletihan

 

Secara tidak langsung, situasi ini akan mewujudkan satu kitaran harian iaitu mereka kurang bergerak, makan tanpa kawalan, berat badan semakin bertambah yang mana akan berterusan menyebabkan mereka semakin malas untuk bergerak aktif atau melakukan aktiviti fizikal.

Selain daripada itu, lemak berlebihan terutamanya di bahagian perut akan mengambil alih tugas sebagai organ keradangan, yang mana berfungsi membebaskan bahan kimia dalam badan yang boleh meningkatkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kencing manis type  2. Keradangan ini juga menjadi salah satu punca ketidakselesaan fizikal termasuklah mudah berasa letih lesu dan penat berpanjangan.

 

Masalah Kesihatan Sebabkan Kelesuan

Walaupun kelesuan lebih banyak dikaitkan dengan masalah kegemukan atau berat badan berlebihan, namun masalah kesihatan seperti tiroid (kurang aktif) turut boleh menjadi salah satu punca keletihan dan berat badan meningkat.

 

cara atasi keletihan

 

Jika berat badan normal tapi kita mengalami masalah letih lesu yang melampau, segeralah berjumpa doktor untuk membua pemeriksaan. Begitu juga mereka yang mempunyai masalah anemia akibat kekurangan iron (zat besi) dan Vitamin B12 yang mana boleh menyebabkan kelesuan sepanjang hari. Namun demikian, masalah ini turut perlu diambil berat oleh mereka yang obese, terutamanya apabila punca kelesuan tidak dapat dikenalpasti.

 

Stress Menjadi Punca Kelesuan

Walaupn tidak secara langsung, tekanan (stress) turut menjadi penyumbang kepada kelesuan dan keletihan kita seharian. Apabila kita stress, contohnya di tempat kerja, akibat masalah kewangan atau kekeluargaan, badan akan lebih banyak mengeluarkan hormon kortisol. Hormon kortisol menyebabkan kita cenderung untuk mengambil makanan yang tidak sihat serta merapu-rapu.

Akibatnya, ia akan menggalakkan badan menyimpan lebih banyak kalori sebagai lemak yang seterusnya menyebabkan masalah sukar tidur. Apabila tidak tidur dengan betul di malam hari, maka, penatlah kita di siang hari, ye tak?

 

Sebenarnya banyak lagi punca keletihan dan kelesuan seseorang tu, namun apa yang KIM utarakan ni adalah antara yang menjadi punca utama letih lesu seseorang. Walaupun punca kelesuan ni mudah untuk dikenalpasti, tapi selalunya kita sendiri tak dapat mengesan punca keletihan kita. Kalau kalian sering letih lesu sepanjang hari, jangan lupa untuk buat checklist punca-punya keletihan kalian sebagai mana yang KIM kongsikan ni tau.

 

Naimah Wahab

SID: 1001144

 

Author

Saya membawa misi ingin membantu seramai mungkin orang dalam diet sihat, kecantikan serta kesihatan seisi keluarga. Sihat tanpa dadah. Cegah penyakit sebelum datang atau melarat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge