Perlukah Korbankan Kerjaya Demi Kejar Kemuliaan Status Seorang Surirumah?
“Aku rasa, akulah wanita paling mulia, tinggal kat rumah uruskan keperluan suami, anak-anak dan rumahtangga”, gumam puan Serina sewaktu merehatkan diri sebentar selepas membaca sepotong hadis yang bermaksud:- “Solat seorang wanita …
“Aku rasa, akulah wanita paling mulia, tinggal kat rumah uruskan keperluan suami, anak-anak dan rumahtangga”, gumam puan Serina sewaktu merehatkan diri sebentar selepas membaca sepotong hadis yang bermaksud:-
“Solat seorang wanita di rumahnya lebih utama baginya daripada solatnya di pintu-pintu rumahnya, dan solat seorang wanita di ruang kecil khusus untuknya lebih utama baginya daripada bahagian lain di rumahnya”
(Hadis Riwayat Abu Dawud 570)
“See! Solat orang perempuan pun lebih baik kat rumah!”, ngomel puan Serina lagi. Mulalah dia terasa yang tindakan dia berhenti kerja haritu adalah pilihan terbaik. Terasa memang dia tergolong antara wanita yang solehah sangat. Dapat mendidik anak-anak dengan lebih sempurna bila berada di rumah. Terasa kembang hidungnya, bak kembang setaman si bunga Siti Zubaidah….hihi
Dalam masa yang sama, Doktor Irena pula terfikir, “Kalau ikutkan hati, dah tak mahu dah aku hadap kes-kes orang bersalin ni, penat sangat. Sebagai salah seorang pakar di pusat rawatan bersalin tersohor, selalu sangat aku kena standby. Takde masa untuk diri sendiri dan keluarga. Tapi, takkan lah aku didorongkan Tuhan menjadi doktor pakar di bahagian Obstretic and Gynecology (O & G) ni dengan sia-sia jer?”, bermonolog pula Doktor Irena lagi.
Persoalannya, benarkah hanya surirumah yang mampu memberi asuhan dan pendidikan terbaik buat anak-anak serta paling bagus dalam menguruskan rumahtangga?
Memang tak dinafikan lah kan, bila tinggal di rumah, ibu-ibu boleh fokuskan perhatian lebih kepada anak-anak serta rumahtangga. Tak perlu dah bersusah-payah nak tambah pendapatan sebab suami dah jalankan tanggungjawab mereka dalam mencari nafkah.
Surirumah ni boleh ajar anak buat latihan, kerja sekolah, ajar mengaji, malah tak kurang juga yang buat home schooling untuk anak-anak mereka.
Untung kan jadi macam puan Serina?
Banyak sangat surirumah yang memang dari awalnya memang tak bekerja atau yang mengorbankan kerjaya mereka, dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang berjaya dan cemerlang dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing.
Memang berbaloi dan satu kepuasan dapat jadi seorang surirumah ni kan?
Tapi perlu ke wanita bekerjaya seperti Doktor Irena berhenti kerja sebab nak rebut maqam kemuliaan sebagaimana Puan Serina?
Sebagai seorang ibu yang dah melahirkan empat orang cahaya mata, saya rasa sangat-sangat bersyukur dan beruntung sebab diberikan rezeki untuk bersalin dengan doktor wanita dan diuruskan oleh jururawat wanita.
Mujur ada wanita kental di luar sana yang sudi memikul amanah menjadi doktor, khasnya dalam bidang O &G ni. Juga buat semua jururawat wanita yang menjadi tulang belakang bidang perubatan dan kesihatan.
Segan kot nak bersalin dengan doktor atau diuruskan oleh jururawat lelaki. Tahap segan tu memang sangat tinggi.
Tapi bukanlah bermakna nak kecam orang wanita yang dapatkan khidmat doktor lelaki, tambah-tambah kalau tu memang doktor pakar yang merawat kita. Apatah lagi dalam situasi darurat.
Ia bersesuaian dengan kaedah fiqh yang berbunyi “ad-Darurat Tubih al-Mahzurat” yang bermaksud “kemudaratan mengharuskan perkara-perkara yang diharamkan”.
Macam penceramah selalu cakap tu, “Nak pilih mati ke makan babi kalau tengah darurat?”. Sudah pasti pilih makan babi kan?
Eh, apa kes pulak makan-makan babi ni? Nak bagi contoh supaya nampak. Bila darurat, perkara haram boleh jadi halal. Tapi ada hadnya.
Berbalik pada kes doktor tadi tu kan, ada seorang hamba Allah ni (memang saya kenal rapat beliau), masa nak bersalin, bila ditanya nak doktor pakar lelaki ke atau doktor wanita biasa yang sambut kelahiran anak beliau, beliau memilih doktor wanita biasa.
Bukan menyangkal kepakaran doktor lelaki tu, tapi rasa segan mengatasi segalanya pada waktu tersebut. Tapi kandungan beliau memang ok, takde masalah.
Jadi, nampak tak kat sini, penting juga wanita bekerjaya kan? Bukan penting juga, memang penting pun!
Tapi ada jer kawan saya yang pilih doktor pakar lelaki untuk bersalin. So, terpulang pada sebab dan pilihan masing-masing.
Ok, sentuh kembali berkenaan surirumah yang dikatakan punyai lebih masa dalam mendidik anak-anak, tapi kenyataan yang tidak boleh disangkal adalah, banyak gejala sosial anak-anak seperti melepak, arak, judi, bohsia, bohjan, malah remaja yang mempunyai masalah mental dan sebagainya berasal daripada keluarga yang emak mereka adalah surirumah.
Walaupun memang tak dinafikan lah yang ibu bekerja ni lebih kurang menumpukan perhatian kepada anak-anak, malah ada tahap mengabaikan terus keperluan anak-anak terutamanya keperluan emosi, tapi masih ramai lagi terdapat anak-anak cemerlang dan menjadi tersohor yang datang daripada ibu yang bekerjaya.
Jadi, apa titik kesudahannya? Emak, mama, ibu, umi atau apa sahaja panggilan ni nak kena pilih jadi surirumah ke nak teruskan kerjaya?
Pada pandangan KIM lah, nak jadi surirumah atau nak bekerja, terpulang kepada pilihan masing-masing. Pertamanya betulkan niat. Kalau nak jadi surirumah, jadilah surirumah yang seimbang dalam menguruskan keperluan rumahtangga dan anak-anak serta diri sendiri.
Takdelah asyik kena label sebagai berimej “hantu kak limah” atau “ketua persatuan baju kelawar kebangsaan” jer kan. Tidaklah juga kerjanya selalu join mesyuarat tingkap atau membawang ajer kan.
Kalau memilih untuk bekerja, bekerjalah dengan izin dan restu suami, jaga batas pergaulan dan tuntutan agama. Sama seperti surirumah, keseimbangan juga perlu dititikberatkan.
Ada wanita menjadi surirumah kerana si suami lebih selesa begitu, malah ada dengan pilihan sendiri, ada juga sebab kesihatan diri, anak-anak atau ahli keluarga yang lain.
Ada yang memilih untuk bekerja kerana minat yang mendalam, ada kerana keperluan hidup, tidak kurang juga kerana ingin berbakti kepada keluarga.
Apa-apa pun pilihan, sentiasa lah berbincang dan bermuhasabah dengan pasangan masing-masing kerana kita membuat pilihan berdasarkan keperluan hidup kita, bukan atas pandangan atau restu orang lain sebab makan minum dan segala bil tu kita yang perlu bayar, bukan diaorang pun kan? Oppps!!!?
Jadi, tak perlulah kita nak saling menunding jari nak kata siapa yang betul atau salah, siapa yang paling mulia atau hina, siapa yang terbaik atau terburuk kerana yang membezakan antara kita sesama makhluk di sisi Tuhan adalah iman dan takwa, sebaik-baik manusia itu pula adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Cuma, apa sahaja pilihan kalian, jangan lupa untuk usahakan simpanan bulanan. Tak dapat banyak, simpan sedikit. Biar konsisten. Aikk, macam dah lari daripada topik utama tapi sebenarnya ia sangat berkait rapat dengan kehidupan kita.
Kalian punya pandangan pula, macam mana?
Siapa surirumah dan wanita bekerjaya kat sini? Jom kongsi cara kalian uruskan anak-anak, pasangan, keluarga, rumahtangga dan kehidupan kalian sehari-hari. Kalau encik suami atau yang bujang trang tang-tang pun nak bagi pandangan, sangatlah dialu-alukan.
.
Nota: Saya copy dari Evernote, bila paste kat sini, hilang pula perenggan. Saya akan edit nanti untuk memudahkan para pembaca sekalian. Terima kasih sudi singgah ke sini?
.
Sekadar berkongsi pandangan,
Naimah Wahab
www.myliferia.my